PETALING JAYA, 9 Jan: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sedang dalam fasa suntingan dengan beliau sudah mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadapnya.
Menurut Tiong, pihaknya telah memberikan tempoh satu minggu kepada pihak penyunting untuk mengemaskini video berkenaan.
“Video itu kita pecahkan kepada zon, mungkin pecahannya dua hingga tiga negeri. Kita (MOTAC) akan lihat macam mana. Saya telah suruh mereka sunting semula dengan tempoh satu minggu diberi.
“Selepas ia siap, kita akan maklumkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sesi Penglibatan bersama Pemain Industri Pelancongan Wilayah Tengah di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Pada majlis itu, 39 rakan strategik dan rakan kerjasama TMM2026 melibatkan hotel, media dan lain-lain menerima sijil yang disampaikan oleh Tiong.
Antaranya TV Sarawak (TVS) yang diwakili Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang.
Dalam pada itu, mengulas dengan lanjut, Tiong memberitahu, pihaknya turut akan melancarkan video promosi versi panjang berdurasi 30-45 minit yang menghimpuran paparan menarik bagi setiap negeri.
Tiong menjelaskan, versi itu diperkenalkan bagi memudahkan pelancong luar untuk melihat gambaran yang lebih terperinci mengenai destinasi yang ingin dituju.
“Serkiranya mereka (pelancong) mahu pergi ke Pulau Pinang, dia akan tonton bahagian yang memaparkan negeri itu, sama seperti sekirannya mereka ingin ke Kuala Lumpur, tontonan mereka lebih ke arah itu. – TVS