KUCHING, 9 Jan: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) mengiktiraf sumbangan besar sekolah persendirian Cina dalam memacu sistem dan landskap pendidikan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata sekolah persendirian Cina menawarkan pandangan dan perspektif berharga dalam memperkayakan sistem pendidikan negeri ini.
“Sekolah persendirian Cina dengan tradisi yang mendalam dan penekanan pada kecemerlangan akademik telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pendidikan di Sarawak.
“Komitmen dan sokongan anda (sekolah persendirian Cina) yang berterusan dalam melahirkan pelajar yang serba boleh bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga memiliki nilai-nilai murni yang kukuh telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosial Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap MEITD, Adana Jed, semasa Sesi Perkongsian dengan Chung Hua Middle School No 3 Kuching, hari ini.
Selain kecemerlangan akademik, beliau turut menekankan pentingnya pembangunan karakter dan nilai murni dalam kalangan pelajar, khususnya di sekolah-sekolah di Sarawak, termasuk sekolah persendirian Cina.
“Kita perlu menyiapkan mereka (pelajar) dengan nilai bertanggungjawab, saling mengasihi, dan beretika untuk membentuk komuniti yang positif.
“Di samping itu, kerjasama perlu diteroka untuk melahirkan pelajar yang berpotensi menjadi pemimpin berinovatif di Sarawak dan negara pada masa hadapan,” tambahnya.
Dr Annuar juga menegaskan komitmen kerajaan Sarawak melalui MEITD untuk memastikan semua institusi pendidikan, tanpa mengira latar belakang dan sejarah, akan menerima bantuan yang sewajarnya bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua anak-anak di Sarawak.
Beliau menekankan pentingnya kerjasama semua pihak untuk menggabungkan kekuatan pelbagai pendekatan pendidikan, sekali gus membina sistem yang lebih tahan lasak dan adaptif.
Menurutnya, semangat ini selaras dengan salah satu daripada tiga tonggak utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, iaitu Inklusiviti Sosial, seperti yang dinyatakan secara jelas dalam pelan tersebut.