KUCHING, 9 Jan: Sarawak Metro Sdn Bhd menerima kunjungan hormat daripada delegasi Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) di pejabatnya di sini pada Selasa.
Sarawak Metro dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa menyambut kehadiran delegasi yang diketuai Ketua Ombudsman Sarawak Dato Sri Abdul Ghafur Shariff.
“Semasa kunjungan hormat ini, Sarawak Metro menyampaikan pembentangan mengenai usaha mereka dalam meningkatkan tadbir urus korporat dan integriti organisasi, khususnya perjalanan mereka dalam memperoleh pensijilan Anti-Bribery Management System ISO 37001:2016,” kata kenyataan itu.
Selain itu, delegasi juga diberi taklimat tentang perkembangan dan kemajuan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang sedang dilaksanakan oleh Sarawak Metro.
Mazli menyatakan penghargaan kepada Ketua Ombudsman Sarawak dan pasukannya atas kunjungan tersebut dan berharap dapat bekerjasama dengan UNIONS dalam meningkatkan perkhidmatan Sarawak Metro, terutamanya apabila perkhidmatan penumpang KUTS dilaksanakan.
“Penubuhan UNIONS adalah satu platform yang baik untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang sewajarnya daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Sarawak Metro,” kata Mazli dalam kenyataan itu.
Sarawak Metro akan memberikan kerjasama penuh kepada UNIONS, bila-bila masa diperlukan, jelasnya.
Sementara itu, Abdul Ghafur memberi penerangan ringkas mengenai peranan dan tanggungjawab Ombudsman serta UNIONS seperti yang diperuntukkan dalam Ordinan Ombudsman Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah organisasi yang masih baru, ramai yang masih belum mengetahui konsep dan sistem ombudsman di Sarawak serta fungsi-fungsi ombudsman.
“Adalah penting bukan sahaja untuk rakyat biasa memahami fungsi dan manfaat Ombudsman tetapi juga untuk organisasi seperti jabatan kerajaan, agensi, dan syarikat berkaitan kerajaan untuk mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai peranan kami,” katanya.