Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto Bernama

Polis bongkar kegiatan bitcoin, berkas tiga lelaki warga tempatan

ByBernama

SEPANG, 9 Jan: Polis berjaya membongkar kegiatan perlombongan bitcoin dalam satu operasi yang dijalankan di lima premis perniagaan dipercayai dijadikan markas aktiviti haram itu di daerah Sepang semalam.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata operasi bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang bermula kira-kira 12 tengah hari di Dengkil, Bandar Baru Salak Tinggi dan Putra Perdana, Selangor itu membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 30 dan 45 tahun.

Norhizam berkata pihaknya turut merampas mesin bitcoin bernilai RM121,800, peralatan elektronik dan dua kenderaan.

“Siasatan mendapati premis ini melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyebabkan kerugian berjumlah RM384,806.

“Dipercayai kegiatan ini telah aktif sejak empat bulan lepas dan kesemua individu ini berperanan sebagai penjaga premis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat menjalankan pemantauan bagi membendung aktiviti haram seumpama itu kerana ia melanggar undang-undang.

Dalam kes berasingan, Norhizam berkata sepanjang Disember lepas, pihaknya telah menumpaskan kegiatan curi kabel di kawasan kampus Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 30 dan 45 tahun yang memiliki rekod jenayah dan dadah.

Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua suspek itu mencuri kabel bawah tanah di 14 lubang benam sekitar UNITEN sepanjang kira-kira dua kilometer membabitkan kerugian RM250,000.

“Taktik kumpulan ini ialah menggunakan kereta sewa atau kenderaan bukan milik mereka bagi mengelakkan daripada mudah dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek itu telah dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sepang dan telah dijatuhkan hukum penjara selama enam bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan