KUALA LUMPUR, 9 Jan: Malaysia dan Jepun akan membincangkan sektor peralihan tenaga semasa lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba ke Malaysia, esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perencanaan itu telah diikhtiarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan dengan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
“Kita harap dalam perbincangan itu akan menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga di rantau ini,” katanya pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Tambah beliau, antara beberapa perkara lain yang akan dibincangkan pada pertemuan itu juga adalah melibatkan isu pelaburan dan perdagangan di antara kedua-dua negara.
Media melaporkan Ishiba telah memiliih Malaysia sebagai destinasi untuk melancarkan hubungan diplomatik bagi tahun ini sebagai satu isyarat untuk menekankan hubungan erat dan strategik kedua-dua negara. – TVS