MIRI, 9 Jan: Limau mandarin, buah yang sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina, bukan sahaja mempunyai nilai budaya, tetapi juga kepentingan rohani yang mendalam, terutamanya dalam konteks keagamaan dan tradisi masyarakat Cina.
Bendahari Persatuan Penganut Agama Buddha Orthodox Miri, Stephen Law menjelaskan bahawa limau mandarin melambangkan tuah, kemakmuran dan keharmonian.

“Warnanya yang keemasan melambangkan kekayaan, manakala bentuknya yang bulat membawa simbol perpaduan dan kelengkapan. Dari sudut rohani, warna jingga terang dipercayai membawa vitaliti dan tuah, menjadikannya simbol keberkatan dalam kehidupan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa dalam bahasa Mandarin, perkataan “limau mandarin” mempunyai persamaan bunyi dengan perkataan “emas” atau jin, yang meningkatkan lagi nilai simboliknya.
Dalam sambutan Tahun Baru Cina, limau mandarin sering digunakan dalam upacara keagamaan sebagai tanda penghormatan, selain melambangkan harapan untuk tuah, kesihatan dan kesejahteraan di tahun mendatang.
“Pemberian limau secara berpasangan juga dianggap bertuah kerana ia melambangkan penggandaan keberkatan. Ungkapan seperti da ji da li, yang bermaksud ‘tuah besar dan keuntungan besar’ sering diucapkan semasa amalan ini,” tambahnya.
Dari sudut Feng Shui, limau mandarin dipercayai dapat membantu menyeimbangkan tenaga dan menarik kekayaan. Buah ini sering diletakkan di ruang tamu atau di atas meja makan untuk mencipta suasana harmoni.
“Bilangan limau turut memainkan peranan penting. Nombor genap seperti 8 atau 10 dianggap bertuah, manakala nombor ganjil biasanya dielakkan,” jelas beliau.
Selain itu, limau mandarin yang bersifat terang dan dianggap sebagai elemen yang dipercayai membantu meningkatkan aliran tenaga positif atau chi, mencipta suasana penuh keberkatan sepanjang perayaan.