MIRI, 9 Jan: Latihan simulasi kebocoran gas klorin di Loji Perawatan Air Lambir yang diadakan hari ini menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden dalam mengesan kebocoran gas berbahaya.
Latihan ini, yang dianjurkan oleh LAKU Management Sdn Bhd, bertujuan meningkatkan kerjasama Pasukan Respons Kecemasan (ERT) LAKU dengan agensi luar serta memperkukuh kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, Mohamad Hamdani Madon, menyifatkan latihan ini sebagai langkah penting untuk mempersiapkan pihak berkaitan menghadapi kemungkinan insiden.
Beliau juga menggesa agar sistem pengesan automatik dipertimbangkan bagi meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan.
“Gas klorin adalah gas berbahaya yang memerlukan pemantauan rapi. Walaupun peralatan sedia ada sudah baik, penggunaan teknologi pengesan automatik boleh memberikan amaran awal, terutama dengan kedudukan kampung berhampiran dalam lingkungan 1 kilometer dari loji ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media latihan simulasi kebocoran gas klorin di Loji Perawatan Air Lambir di sini, hari ini.

Latihan selama dua jam itu turut melibatkan proses penyahcemaran (decontamination) oleh pasukan bomba Lopeng bersama unit IMARESS dan pelbagai agensi lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan serta 18 ketua kampung di kawasan Lambir.
Sehubungan itu, Tuai Rumah Joshua Denis, memuji latihan ini sebagai inisiatif yang sangat berguna dan berharap lebih banyak program melibatkan komuniti setempat diadakan pada masa depan.
“Latihan simulasi ini adalah inisiatif yang amat baik kerana ini adalah kali pertama ia diadakan. Perkara seperti ini patut diteruskan kerana ia sangat berguna untuk masa depan, terutamanya bagi penduduk kampung.
“Jika berlaku kemalangan seperti kebocoran gas klorin, latihan ini boleh membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar program seperti ini melibatkan lebih ramai penduduk kampung dan menyediakan kaedah komunikasi yang lebih berkesan.
“Saya mencadangkan agar pihak LAKU merangka pelan komunikasi yang jelas untuk memaklumkan kepada penduduk sekiranya insiden sebenar berlaku.
“Adakah mereka akan membuat pengumuman melalui pembesar suara, menghantar van pemberitahuan, atau menggunakan kaedah lain? Ini adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan dengan serius,” katanya.