KUALA LUMPUR, 9 Jan: Kerajaan akan memberi penekanan dalam memanfaatkan kelebihan geografi negara yang strategik sebagai pusat kepelbagaian kepada sumber utama pada 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini melibatkan penyaluran bagi tenaga elektrik, tenaga kerja dan pempelbagaian rantaian bekalan.
“Pada masa sama, kerajaan juga mahu memperhalusi kepakaran dalam industri minyak dan gas, semikonduktor dan perbankan Islamik agar kita dapat menjadi peneraju pasaran global dalam setiap bidang,” katanya pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Jelas Anwar, sikap berkecuali dan keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama menjadikan Malaysia sebagai hab semula jadi untuk semua sektor.
Sementara itu, Anwar berkata pencapaian Malaysia pada tahun lalu adalah amat memberansangkan setelah berjaya membendung kenaikan inflasi, selain mengurangkan kadar pengangguran dan menstabilkan mata wang negara.
“Kita telah merekodkan pencapaian tertinggi dalam penciptaan pekerjaan, selain mencatatkan prestasi terbaik bagi pasaran saham di ASEAN.
“Di peringkat antarabangsa, pelaburan langsung asing (FDI) adalah bersejarah dan menerajui rantau ini dalam sektor semikonduktor dan pusat data,” katanya. – TVS