DARO, 9 Jan: Jambatan Muara Lassa dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan di Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, ia dianggap sebagai pengubah keadaan yang bakal membuka peluang baharu bukan hanya untuk masyarakat setempat tetapi tarikan pelancongan.
“Sudah pastinya kawasan ini akan menjadi tumpuan ramai kerana pemandangan yang indah dan unik di jambatan ini. Dari satu sisi, anda boleh melihat Laut China Selatan manakala dari sisi lain terdapat pertembungan dua sungai iaitu Muara Lassa. Inilah daya tarikan baharu yang mampu memikat pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Jambatan Muara Lassa di Daro hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo.
Safiee menjelaskan, jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu memainkan peranan penting sebagai penghubung strategik khususnya bagi kawasan pesisir Pulau Bruit dan Daro sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Jambatan Muara Lassa atau Jambatan Batang Lassa kini siap sepenuhnya dengan kos pembinaan kira-kira RM600 juta.
Majlis perasmian jambatan tersebut akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Februari. – TVS