DARO, 9 Jan: Jambatan Muara Lassa atau Jambatan Batang Lassa kini siap sepenuhnya dan mula dibuka kepada umum hari ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo berkata, ia berjaya disiapkan dengan masa lebih singkat melalui penggunaan kaedah pembayaran alternatif (alternative funding) berbanding kaedah konvensional.
Malah menurutnya, pembayaran alternatif untuk pembinaan jambatan tersebut menjadikannya sebagai yang pertama di Malaysia berjaya melaksanakan kaedah tersebut.
“Kita sangat beruntung kerana berada di bawah Kerajaan GPS, yang bijak menggunakan kaedah pembiayaan alternatif (alternative funding) untuk membangunkan projek jambatan ini. Dengan jumlah RM12 bilion termasuk jalan raya, semua projek ini dibiayai melalui hasil kejayaan Sarawak sendiri menggunakan kaedah alternative financing.
“Kaedah ini membolehkan pembinaan infrastruktur besar seperti Jambatan Muara Lassa dipercepatkan, sesuatu yang mungkin sukar dicapai jika menggunakan kaedah konvensional. Sarawak juga menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengaplikasikan pendekatan ini dan hasilnya jelas dapat kita lihat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pra Pelancaran Jambatan Muara Lassa di Daro, hari ini.
Beliau hadir menggantikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi melancarkan pembukaan jambatan itu.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korperat, Penerangan dan UKAS Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab serta Ahli Dewan Undangan Negeri Daro Safiee Ahmad.
Aidel menjelaskan, kerajaan turut menggunakan pendekatan inklusif iaitu bottom up.
“Semua projek di kawasan ini termasuk Jambatan Muara Lassa dirancang oleh pemimpin tempatan bersama masyarakat setempat. Berbeza dengan dahulu yang mana projek besar dirancang oleh pegawai kerajaan di pejabat dan dilaksanakan dari atas ke bawah (top-down), kini pendekatan bottom-up digunakan.
“Pendekatan ini memastikan projek memenuhi keperluan sebenar penduduk setempat memberi impak yang lebih besar dan mempercepatkan pelaksanaannya. Hasilnya, lebih banyak projek dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Jambatan sepanjang 2.43 km itu menghubungkan Pulau Bruit dengan Daro di Bahagian Mukah, menjadikannya jambatan menyeberangi sungai kedua terpanjang di Sarawak.
Pada 22 Februari, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir merasmikan Jambatan Muara Lassa.- TVS