DARO, 9 Jan: Siapnya Jambatan Muara Lassa membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memajukan kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata sejurus selepas Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri, beliau tidak mengambil masa lama untuk mengumumkan pembinaan dua jambatan.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata jambatan yang penting untuk perhubungan penduduk di kawasan pesisir itu ialah Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh yang menghubungkan Pulau Bruit ke Daro dan Tanjung Manis.
“Sepanjang lapan tahun mengetuai kepimpinan dan pentadbiran Sarawak, Premier Abang Johari telah memperkenalkan begitu banyak inisiatif pembangunan dan ekonomi yang telah mengubah wajah dan kedudukan kewangan Sarawak.
“Yang paling ketara dalam agenda pembangunan beliau ialah usaha kesungguhan untuk memakmurkan kawasan luar bandar dengan menyediakan peruntukan yang besar dalam belanjawan Sarawak setiap tahun,” katanya sempena pra pelancaran Jambatan Muara Lassa di sini, hari ini.

Abdullah berkata lagi, bukan sahaja perbelanjaan yang besar untuk pembangunan infrastruktur di pedalaman, malah kerajaan di bawah kepimpinan Premier Abang Jo juga menyediakan peruntukan yang besar memperkasakan sektor pertanian, terutama di kawasan pedalaman dalam usaha kerajaan mengukuhkan jaminan bekalan makanan.
Beliau menyatakan penghargaan terbesar kepada kerajaan serta semua agensi yang berkaitan di bawah kepimpinan Abang Johari atas kebijaksanaan yang berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan dan pendapatan Sarawak sehingga mampu menyediakan sumber kewangan negeri sendiri untuk melaksanakan banyak pembangunan kemudahan asas, terutama di luar bandar.
Mengimbas kembali tentang pembinaan Jambatan Muara Lassa, beliau menceritakan ketika projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo diumumkan sekitar tahun 2014, beberapa wakil rakyat kawasan pesisir turut membangkitkan kerisauan mereka mengenai keadaan jalan raya yang menghubungkan kebanyakan penempatan di sepanjang kawasan pesisir.
Maka, semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada April 2015, saya dan ADUN Sadong Jaya Datuk Aidel Lariwoo (kini Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan) dengan kerjasama beberapa wakil rakyat yang mewakili kawasan pesisir, telah bersepakat menjadikan cadangan pembinaan lebuh raya pesisir sebagai kandungan utama dalam ucapan perdebatan kami.
“Selepas Pilihan Raya Negeri 2016, saya telah mengatur perjumpaan khas dengan Ketua Menteri pada ketika itu, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, untuk mengadakan sesi pertemuan bersama beliau bersama beberapa wakil rakyat pesisir.
Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, turut disampaikan kepada Ketua Menteri ialah memorandum yang ditandatangani oleh 10 wakil rakyat pesisir berkaitan cadangan pembinaan jaringan jalan raya, termasuk sembilan jambatan yang menghubungkan kebanyakan penempatan sepanjang kawasan pesisir Sarawak.
Kesungguhan untuk membaiki dan menaik taraf sistem jalan raya di sepanjang kawasan pesisir semakin mendesak ketika itu, dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pembesaran penempatan dan pertambahan penduduk di kebanyakan kawasan pesisir Sarawak.
“Faktor utama lain ialah perkembangan sektor sosioekonomi seperti aktiviti perikanan, pertanian dan pelabuhan yang semakin pesat di kebanyakan pekan dan bandar di kawasan pesisir Sarawak,” katanya.