KUCHING, 9 Jan: Beberapa jalan utama di bandar raya Kuching akan ditutup sementara esok, 10 Januari, bagi memberi laluan kepada perarakan Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, memaklumkan bahawa penutupan jalan tersebut akan bermula seawal jam 6 pagi sehingga perarakan selesai.
“Perarakan akan bermula dari Old Court House menuju ke Hikmah Exchange Event Centre,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Antara jalan yang ditutup adalah Jalan Gambier menghala ke Jalan Main Bazaar; Jalan Main Bazaar menghala ke Jalan Pearl; serta Jalan Barrack menghala ke Jalan Masjid.
Penutupan juga melibatkan Bulatan Padang Pasir menghala ke Jalan Masjid dan Jalan P. Ramlee menghala ke Jalan Masjid.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan yang terlibat serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesulitan.