KUALA LUMPUR, 8 Jan: Pakar elektrokimia dan ionic liquids, Profesor Dr Yatimah Alias dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baharu bermula 13 Januari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan Yatimah, 55, memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia dari University of East Anglia, Australia dan sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak 2022.
Jelas KPT, pelantikan Profesor Dr Yatimah sebagai Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan kepada reputasi akademik beliau yang diiktiraf serta pengalaman luas yang dimiliki dalam pengurusan pentadbiran di UM.
“Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM sejak 2014 hingga 2018 (selain sebagai) Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM dari 2018 hingga 2022 dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) sejak 2017 hingga 2022,” jelas KPT menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu KPT turut memaklumkan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dilantik sebagai Naib Canselor universiti berkenaan bermula 9 Januari.
Profesor Dr Mohd Shafry, 49, merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2008.
“Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya sebagai Timbalan Dekan (Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM pada t2015, Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM pada 2019, Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM pada tahun 2020 serta merupakan Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN), UTM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM pada 2023,” jelas KPT.
Watikah pelantikan untuk tempoh selama dua tahun diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam.
“Kementerian yakin pelantikan kedua-dua Naib Canselor UTM dan UMPSA baharu ini akan memperkasa pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat industry-ready, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi,” tambah kenyataan itu. -TVS.