MIRI, 8 Jan: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuan di sebuah rumah kedai di Permyjaya di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan itu dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Hasil pemeriksaan, pasukan polis telah menahan seorang lelaki dan merampas 30 gram dadah yang disyaki jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek kini dalam proses permohonan reman di Kompleks Mahkamah Miri bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun serta hukuman sebatan tidak kurang daripada 10 kali jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.
Polis Daerah Miri turut menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan mereka kepada pihak polis. – TVS