MIRI, 8 Jan: Pemantauan bagi penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahagian Miri di premis-premis makanan di sekitar Bandaraya ini diyakini meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan masyarakat di sini.
Menurut salah seorang pemilik restoran, Fadillah Madli menyifatkan tindakan sedemikian amat efisien.
“Tidak dinafikan pihak KKM Miri kerap mengadakan pemantauan. Mereka sangat teliti dan tegas. Para pekerja kami yang merokok diminta untuk merokok jauh dari restoran. Ini sangat bagus, sangat efisien,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Tambahnya lagi, penguatkuasaan larangan merokok di premis-premis makanan adalah satu langkah yang baik untuk menuju ke arah negara maju.
Selain itu katanya, untuk memastikan kejayaan terhadap penguatkuasaan ini, semua pihak harus bekerjasama.
Sementara itu, Rasidi Ismail yang merupakan seorang pengurus restoran turut bersetuju akan penguatkuasaan ini.
Ini kerana katanya, ia meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan yang ingin membawa keluarga ke kedai makan terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil.
“Saya rasa penguatkuasaan ini sangat bagus. Kita cegah orang merokok ini bagus, lagi ramai pelanggan yang membawa keluarga datang. Mereka boleh makan dengan selesa dan tidak terganggu dengan orang yang merokok. Kerana dulu-dulu kita hisap rokok tak ingat kesihatan. Sekarang dah buat tu bagus,” ujarnya.
Para pelanggan juga dilihat menerima penguatkuasaan ini secara positif.
Menurut seorang pelanggan yang datang dari Brunei Darussalam penguatkuasaan ini katanya bukan lagi sesuatu yang asing kerana di negaranya turut dilaksanakan penguatkuasaan yang sama.
“Dengan langkah penguatkuasaan sebegini alhamdulillah bagus sebenarnya sebab di Brunei pun memang sudah dilaksanakan. Alhamdulillah tok pun salah satu langkah mun kita mok pegang lagik dari segi Islamnya lagi nya salah satu cara untuk kerajaan tok menghalang daripada kerosakan yang boleh berlaku. Ya macam ya lah juak lah. Memang satu yang nya orang, kaedah atau cara yang baiklah.”
Premis makanan antara 28 kawasan diwartakan sebagai larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (AKTA 852), bermula 1 Januari 2025, selain bangunan tempat kerja kerajaan dan swasta, pusat hiburan atau teater (kecuali kasino), hospital dan klinik, lif atau tandas awam, dobi, kedai berhawa dingin serta mana-mana kawasan yang digunakan bagi aktiviti perhimpunan. – TVS