KUCHING, 8 Jan: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali dengan jolokan Kilat Boy bersiap sedia untuk membuka tirai tahun 2025 dengan aksi cemerlang pada kejohanan Rentap Fighting Championship yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini.
Kilat Boy berkata, dalam kejohanan yang bakal diadakan di Stadium Perpaduan Sarawak itu, beliau dijadual akan bertemu seorang petinju berbakat dari Indonesia, Praka Yeret Tildjuir.
Katanya, walaupun pertarungan ini dianggap sebagai ‘pemanas badan’ untuk permulaan tahun, Kilat Boy menegaskan bahawa dia tidak akan memandang rendah terhadap lawannya.
“Strategi utama saya dalam mengatasi kejohanan kali ini, saya akan guna strategi yang sama cuma saya akan mengubah sedikit corak permainan dan saya cuba untuk tidak melakukan kesilapan kecil sehingga boleh menyebabkan saya kehilangan markah,” kata Kilat Boy ketika dihubungi TVS baru -baru ini.
Tambah atlet kelahiran Sri Aman Sarawak itu lagi, segala persiapan menjelang kejohanan tersebut berjalan dengan lancar meskipun mengakui menjadi sedikit cabaran buat dirinya kerana telah lama berehat daripada sebarang kejohanan.
“Saya kena berhati-hati dengan kejohanan kali ini ataupun pihak lawan yang bakal dihadapi sebab saya tidak tahu bagaimana prestasi semasa petinju Indonesia itu.
“Kalau dari segi rekod dan fizikalnya lebih kurang sahaja dari saya, Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik ,” ujarnya lagi.
Rentap Fighting Championship telah menjadi salah satu platform penting bagi petinju tempatan dan serantau untuk menunjukkan bakat.
Tahun ini, kejohanan tersebut dijangka menarik perhatian ramai peminat sukan tempur dengan kehadiran peserta dari beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Kilat Boy juga menyatakan harapannya agar kejohanan ini menjadi medan untuk mengasah kemahiran sekali gus mencipta nama di peringkat antarabangsa.
“Saya mahu memastikan Sarawak dan Malaysia bangga. Kejohanan ini hanyalah permulaan,” tambahnya lagi, -TVS