Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seramai 126 orang disahkan terkorban manakala 188 lagi cedera setakat 7 malam Selasa, susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Daerah Dingri di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, pada pagi Selasa. Foto AFP

Gempa bumi bermagnitud 6.8 di Xizang, China ragut 126 nyawa, cederakan 188 orang

ByBernama

LHASA, 8 Jan: Seramai 126 orang disahkan terkorban manakala 188 lagi cedera setakat 7 malam Selasa, susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Daerah Dingri di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, pada pagi Selasa, lapor Xinhua.

Kementerian Keselamatan Awam China segera melancarkan langkah tindak balas bencana, menggerakkan pasukan polis tempatan untuk operasi menyelamat, mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan awam berikutan gempa bumi itu.

Pusat arahan kecemasan wilayah itu mengumumkan pada Selasa bahawa tindak balas kecemasan gempa bumi di Xizang telah dinaikkan ke Tahap I, tahap tertinggi.

Sementara itu, China turut mengerahkan beberapa satelit untuk merakam imej kawasan terjejas.

Lapan satelit, termasuk siri Gaofen dan satelit pemantauan ekosistem karbon daratan, digerakkan untuk memantau kawasan berkenaan, menurut Pusat Data dan Aplikasi Satelit Sumber China.

Gempa bumi itu berlaku pada 9.05 pagi (Waktu Beijing), dengan pusat gempa terletak di Kawasan Perbandaran Tsogo, Daerah Dingri, Bandar Xigaze.

Sebanyak 27 kampung dengan kira-kira 6,900 penduduk berada dalam lingkungan 20 kilometer dari pusat gempa. Data rasmi menunjukkan Daerah Dingri mempunyai populasi lebih 61,000 orang.

Lebih 3,400 penyelamat dan 340 petugas perubatan telah dikerahkan ke kawasan bencana, menurut sidang media mengenai gempa bumi itu.

Ramalan cuaca menunjukkan keadaan cuaca cerah di Dingri dalam tempoh tiga hari akan datang, dengan suhu minimum antara -18 hingga -14 darjah Celsius.

Pihak berkuasa pusat China telah menghantar kira-kira 22,000 item bantuan bencana ke wilayah terjejas, termasuk khemah kapas, pakaian musim sejuk, selimut, dan katil lipat, selain bahan bantuan khas untuk kawasan beraltitud tinggi dan bersuhu dingin.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan