BAU, 8 Jan: Bayi dalam kandungan maut selepas kereta dipandu seorang wanita kemalangan dengan sebuah pikap di Kilometer 5.0 Simpang Opar Rumih, Jalan Bau-Lundu petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Dr Daram Ruer berkata, kejadian sekitar jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika pemandu pikap dalam proses hendak keluar ke simpang kanan menuju ke arah Bau dan telah berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Bezza yang bergerak lurus.
“Akibat kemalangan itu, wanita yang mengandung mengalami kecederaan dalaman, bayi dalam kandungannya berusia 35 minggu 2 hari disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, disebabkan kemalangan itu wanita terbabit masih mendapat rawatan di wad kecemasan HUS.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes masih dalam siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat berikutan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Daram turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan memandulah secara berhemah.-TVS