KUCHING, 7 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bekerjasama dengan Malaysia Press Insitute (MPI) serta institut kewartawanan lain dalam menyediakan program dan latihan profesionalisme di kalangan wartawan di Sarawak.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat (Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai langkah untuk memperkukuh usaha meningkatkan kualiti maklumat yang disampaikan oleh pengamal media, di samping memastikan penyebaran maklumat palsu atau tidak sahih dapat dibendung.
“Beliau (TYT) mencadangkan agar wartawan, seperti profesional lain seperti peguam dan jurutera, diwajibkan menjalani latihan berkala dan memperoleh akreditasi.
“Cadangan ini dilihat sebagai langkah baik untuk meningkatkan tahap profesionalisme wartawan, terutama dalam era media digital yang semakin mencabar,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di kediaman beliau di sini, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Tun Wan Junaidi menekankan cabaran yang dihadapi dalam media sosial, termasuk kebimbangan terhadap penyebaran maklumat yang diputar belit, berunsur fitnah dan isu perkauman yang perlu ditangani dengan serius.
Dalam kunjungan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz yang menyambut baik cadangan TYT itu berkata, pihaknya mahu menambah baik kekurangan yang ada selain meletakkan satu tahap standard yang lebih tinggi khususnya bagi pengamal media di Sarawak dan juga di Semenanjung Malaysia.
“Kita melihat bahawa setiap wartawan itu perlu dilatih cara yang betul, kemudian memberi laporan yang tepat dan memberikan kebaikan kepada rakyat.
“Jadi kita hendak melihat pada aspek itu. Oleh itu MPI masuk sebagai pelatih, sebagai tenaga pengajar bagi memastikan bahawa senario ataupun persekitaran kewartawanan pada hari ini adalah tepat seperti mana yang dikendaki oleh mana-mana agensi kerajaan,” jelas beliau.
Turut hadir bersama delegasi itu ialah Presiden MPI, Datuk Soo Yong Heong. -TVS