KUCHING, 7 Jan: Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO pada 2021 mencerminkan kepelbagaian, kekayaan dan kelestarian masakan tradisi Sarawak malah ia adalah simbol keharmonian masyarakat pelbagai budaya.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata penghasilan buku panduan Intimate & Ultimate Gastronomi Kuching adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan warisan makanan tempatan yang kaya dan unik.
“Buku panduan ini bukan sekadar koleksi resipi, tetapi juga kompendium yang menceritakan kisah Kuching melalui keistimewaan makanannya,” katanya pada Majlis Penyerahan Buku Panduan Intimate & Ultimate Kuching Gastronomi di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini.
Menurutnya, hidangan tradisional seperti laksa Sarawak dan mi kolok hingga inovasi masakan moden, buku ini menonjolkan kreativiti serta kelestarian gastronomi tempatan.
“Penyerahan buku panduan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan MBKS.
“Dengan sokongan MOTAC, warisan makanan Kuching tidak hanya mendapat pengiktirafan global tetapi juga pelan tindakan mampan untuk pembangunan masa depan,” katanya.
Beliau menambah, buku ini akan menjadi alat penting bagi kementerian dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan gastronomi bertaraf dunia. – TVS