PUTRAJAYA, 7 Jan: Malaysia dan Singapura berpandangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif ekonomi unik yang jarang dilakukan oleh dua negara jiran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, secara asasnya JS-SEZ bertujuan untuk meningkatkan pelaburan membabitkan kedua – dua negara dan dirangka berteraskan dasar ekonomi dan pendekatan yang jelas untuk menangani kebimbangan pelaburan sosial.
Jelas beliau, tidak banyak dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan mempromosikan serta menarik pelaburan namun Malaysia dan Singapura berhasil mencapai persetujuan dalam perkara itu.
“(Ini kerana) kedua-dua negara dipimpin oleh kerajaan yang stabil dari segi politik, dengan (memiliki) dasar ekonomi serta dasar yang jelas untuk menarik pelaburan.
“(Malaysia dan Singapura juga) selektif dengan memberi tumpuan kepada pelaburan yang memenuhi permintaan masa depan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri, Singapura Lawrence Wong selepas Mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia – Singapura di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
JS-SEZ dilancarkan hari ini selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan dengan sasaran pertamanya untuk membawa masuk 50 projek dalam tempoh lima tahun.
JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex, dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Sementara itu Lawrence berkata, JS-SEZ memberi mesej yang jelas kepada pelabur untuk melihat kelebihan yang melengkapi antara Johor dan Singapura.
“Bagi Singapura, kami telah lakukan banyak libat urus bersama perniagaan (pemain industri) dengan mereka menyatakan minat untuk melakukan lebih banyak aktiviti di Johor dan kemudian bergabung dengan operasi mereka di Singapura.
“Kami (Singapura) sudah mempunyai insentif sedia ada untuk perniagaan yang ingin berkembang ke luar negara. Kami juga memiliki program penyediaan pasaran dan geran yang boleh dimanfaatkan perniagaan Singapura,” katanya.
Terdahulu, Lawrence dan Anwar menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian bersama JS-SEZ antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong. – TVS