KUALA LUMPUR, 6 Jan: Telegram menjadi platform ketiga yang berjaya memperoleh Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)) sekali gus membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan, Telegram telah memperoleh lesen tersebut daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis lepas.
“TikTok, Wechat dan Telegram sudah dapat, manakala Meta masih ada beberapa dokumen yang sedang dalam proses dan perlu dihantar.
“Kita jangkakan dalam masa terdekat ia akan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelesenan Google, beliau berkata pihaknya telah meminta MCMC meneruskan perbincangan dengan pada masa sama memberi amaran bahawa tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang komunikasi.
“Sekiranya kita dapati wujud pelanggaran undang-undang seperti video penipuan dalam talian atau judi dalam talian yang dimainkan di platform Youtube misalnya, kita akan ambil tindakan.
“Undang-undang sudahpun berkuat kuasa, cuma kita masih meneruskan perbincangan dengan mereka (Google),” katanya.
Mengenai platform X pula, Fahmi berkata, MCMC masih memerlukan sedikit masa memandangkan platform itu sebelum ini menyatakan pangkalan penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna.
Untuk rekod, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – TVS