DARO, 6 Jun: Jambatan Muara Lassa yang dijangka dibuka kepada orang ramai 9 Januari ini bakal menyaksikan berakhirnya perkhidmatan feri di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, menggunakan feri merentasi Muara Lassa sudah pasti menjadi kenangan kepada penduduk Daro selepas ini.
Malah menurutnya, dengan adanya jambatan baharu, perjalanan bukan sahaja lebih mudah tetapi mengambil masa singkat dengan hanya mungkin lima minit berbanding sejam atau lebih ketika menggunakan feri.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini (Daro), pastinya saya merasa amat lega dan gembira,” katanya.
Majlis prapelancaran projek mega bernilai RM600 juta itu akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 9 Januari ini.
Sementara itu, majlis perasmiannya pula dijadual berlangsung pada 22 Februari depan dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.-TVS