KUCHING, 6 Jan: Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak (KPPRS) akan menjalinkan kerjasama dengan Tanahair Films Sdn Bhd untuk mengadakan pementasan istimewa sempena sambutan ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Penasihat Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak (KPPRS), Dato Adi Badiozaman Tuah berkata, acara tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan tokoh pemimpin negeri tetapi juga menghidupkan kembali semangat seni dan warisan budaya menerusi karya agung P. Ramlee yang sentiasa diingati dan dihargai oleh generasi kini.
“Apa yang kita lakukan adalah memberi nafas baharu kepada karya seni tinggalan P.Ramlee yang sememangnya malar segar menerusi pementasan khas seperti nyanyian, tarian dan lakonan.
“Selain itu, Dato Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramli dari Tanahair Films Sdn Bhd akan bekerjasama dengan kita untuk menyemarakkan lagi apa yang kita sedang usahakan dalam mengenengahkan khazanah seni tinggalan seniman agung P.Ramlee,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di sini hari ini.
Pada kunjungan tersebut, Dato Adi turut memaklumkan pihaknya juga memohon persetujuan daripada Tun Wan Junaidi supaya tradisi dan legasi kelab diteruskan seperti yang dilaksanakan sebelum ini.
“Sejak ditubuhkan, KPPRS memang menjalinkan kerjasama yang akrab dengan pihak Astana termasuk dalam apa sahaja acara penting yang melibatkan kesenian. Kita juga akan dijemput untuk menyerikan majlis-majlis penting seperti majlis ilmu dan juga persembahan bersandarkan karya seni P.Ramlee.
“Jadi kita datang hari ini untuk memohon persetujuan daripada Tun supaya tradisi dan legasi diteruskan seperti apa yang kita laksanakan bersama bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin dan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud agar karya P. Ramlee dapat diangkat sebagai ikon seni yang menjadi contoh dan teladan kepada generasi muda kita,” ujarnya.
Untuk rekod, Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) ditubuhkan pada 30 Jun 2012 dan diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 1 Oktober 2012. -TVS