Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fahmi Fadzil pada Majlis perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM). Foto: Amirrudin (TVS)

Malaysia rugi RM700 juta setahun bayar perkhidmatan geospatial, navigasi utama

ByHafeezzur Muzamir

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Malaysia membelanjakan RM700 juta setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara susulan ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perbelanjaan itu menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara dan meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat bersepadu.

“Negara kini menghadapi cabaran besar dalam pengurusan alamat yang tidak berstruktur dan tidak seragam, khususnya di kawasan luar bandar, kampung tradisional, dan kawasan bandar yang padat.

“Ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi telah membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar, ketidakcekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam dan kelemahan dalam menyokong kepada ekonomi digital.

“Kementerian menyedari kelompongan ini dan kepentingan pengurusan alamat yang bersepadu dalam memacu ekonomi digital negara, termasuk sektor e-dagang, logistik, dan pembangunan bandar pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi berkata, kementerian mengambil langkah proaktif dengan membangunkan Sistem Alamat Nasional (NAS) bagi melindungi kedaulatan data geospatial negara dengan memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

Fahmi menjelaskan, NAS akan menjadi sistem pengalamatan tunggal dan rujukan utama yang diiktiraf oleh kerajaan yang menguruskan lebih 12 juta alamat di seluruh negara.

“MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan misi NAS ini.

“Kerjasama ini bertujuan membangunkan perkhidmatan geospatial untuk alamat dan jalan, yang dijangka memberi manfaat besar kepada sektor kurier, logistik, penyampaian awam, dan pertahanan negara,” katanya.

Tegasnya, NAS bukan sekadar projek teknologi tetapi juga merupakan asas kepada transformasi perkhidmatan awam, pengukuhan ekonomi digital, dan peningkatan kesejahteraan rakyat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan