KUCHING, 6 Jan: Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) bakal mengadakan larian amal Pet Walk 2025 pada 27 April di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Presiden SSPCA, Datin Dona Drury Wee berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran vaksinasi rabies dan penjagaan haiwan peliharaan dalam komuniti setempat.
“Bagi pihak Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur utama Pet Walk 2025 iaitu Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching yang akan berlangsung April ini sempena sambutan Hari Haiwan Terbiar Sedunia.
“Acara ini bukan sahaja mengetengahkan isu haiwan terbiar tetapi juga menjadi wadah untuk menyatukan komuniti kita dalam menyokong kebajikan haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pet Walk 2025 di di Kuching, pada Isnin.
Program yang julung kali diadakan itu turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pertubuhan Komuniti Progresif Kuching.
Menurut Dona, ia turut menyediakan platform untuk mengeratkan hubungan dalam komuniti sekali gus menyokong kebajikan haiwan.
“Melalui inisiatif seperti ini, kita dapat meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh haiwan terbiar dan memberi inspirasi untuk tindakan kolektif dalam memperbaiki kehidupan mereka.
“Pet Walk 2025 menjanjikan satu perhimpunan meriah pencinta haiwan, satu hari yang penuh kegembiraan, semangat kerjasama dan tujuan yang sama,” ujarnya.
Program Pet Walk akan diadakan pada 27 April 2025 akan melibatkan jarak sejauh tiga kilometer bermula pada jam 6:45 pagi di perkarangan MBKS.
Antara aktiviti lain yang akan berlangsung pada hari tersebut termasuk pemeriksaan kesihatan percuma untuk orang ramai yang disediakan oleh Jabatan Kesihatan Kuching.
Selain itu, ia turut diwarnai dengan kehadiran vendor makanan haiwan serta pameran lain yang turut menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan haiwan.
Sementara itu, bayaran untuk pendaftaraan adalah berbeza dan tertakluk kepada kategori yang disediakan.
Untuk menyertai Pet Walk 2025, orang ramai boleh mendaftar melalui laman web rasmi di https://www.ticket2u.com.my/event/39312/pet-walk-2025 atau mengimbas kod QR yang tertera sebelum tarikh tutup pada 23 Mac 2025.-TVS