MIRI, 6 Jan: Ketua Jurulatih Kelab Kuching City FC (KCFC) Aidil Shahrin berkongsi persiapan pasukannya menjelang baki perlawanan musim ini selepas siri jelajah persahabatan yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, jelajah persahabatan ini sangat penting untuk meningkatkan kecergasan dan kekuatan mental pemain terutamanya disebabkan kekurangan perlawanan intensif di Kuching.
“Jelajah ini merupakan peluang besar untuk pasukan meningkatkan kecergasan selepas perlawanan yang jarang diadakan di Kuching. Pada hari ini, kami akan mengakhiri jelajah ini, kerana tiada masa lagi. Selepas Tahun Baru, pasukan akan bergabung semula dan menumpukan sepenuhnya kepada peningkatan kecergasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS semasa perlawanan persahabatan bola sepak dengan Kelab Liga Super Malaysia Kuching City FC (KCFC) bersempena dengan lawatan sambil latihan kelab yang berlangsung di Padang Stadium Bandaraya Miri hari ini.
Aidil juga berkata, sepanjang jelajah ini, pasukannya telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan dan selepas ini, mereka akan pulang ke Kuching untuk melakukan latihan intensif selama dua hari sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada hari ketiga, di sana mereka akan mempersiapkan diri untuk menghadapi pasukan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, Aidil turut menyentuh cabaran yang dihadapi pasukannya, terutamanya dalam musim yang penuh dengan rehat yang panjang dan kekurangan perlawanan persahabatan di Kuching.
“Musim ini, Liga Bola Sepak Malaysia banyak berehat dan itu memberi kesan kepada persiapan kami. Tiada banyak perlawanan persahabatan yang boleh mengganggu momentum pasukan yang telah menunjukkan prestasi baik.Bagaimanapun, kami melihat rehat ini sebagai peluang untuk fokus pada persiapan mental dan fizikal pemain,” jelasnya. – TVS