KABONG: 6 Jan: Kampung Simpang Empat Kabong diisytiharkan sebagai kawasan baharu wabak denggi.
Ini susulan dua kes yang direkodkan dalam tempoh 14 hari di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Wabak Demam Denggi bermesyuarat, bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil bersama oleh agensi berkaitan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Share, di pejabatnya di sini.
Beliau menyarankan agar pihak Majlis Daerah Saratok (MDS) membantu penduduk kampung menjalankan aktiviti gotong-royong dengan segera.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Abdul Mualim Shah menasihatkan agar tempat pembiakan nyamuk aedes dimusnahkan.
“Pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes adalah cara paling berkesan dalam kawalan demam denggi,” katanya pada mesyuarat sama.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohamad Buhaiqi Madi turut berpesan kepada penduduk yang mengalami tanda dan gejala demam denggi agar segera mendapatkan rawatan.
“Mereka juga boleh menjalankan pemeriksaan kendiri di rumah masing-masing dengan memastikan tiada bekas air bertakung, yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Sampah juga hendaklah dibuang ke tempat yang betul, agar wabak dapat dielakkan,” ujarnya.
Langkah tersebut perlu diambil dengan harapan tiada lagi kes demam denggi direkodkan di Kabong, khususnya Kampung Simpang Empat Kabong, selepas 11 Januari depan.
“Fokus kita semua untuk menamatkan dengan segera wabak bahaya ini.
“Tolong buka pintu semasa semburan kabus dijalankan agar dapat membunuh nyamuk aedes dengan berkesan,” jelasnya.-TVS