KUCHING, 6 Jan: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kajian atau soal selidik yang melibatkan hanya pemimpin Dayak di negeri ini sebagai tidak manis dan mempunyai niat tersembunyi.
Mengulas mengenai kaji selidik yang dikeluarkan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Jayum Jawan pada Sabtu lalu, beliau berkata, kajian tersebut seharusnya dilakukan secara adil terhadap semua pemimpin di Sarawak tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
“Kita mempunyai seramai 18 menteri dan timbalan menteri sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, yang mana hanya tiga orang sahaja seperti yang disebut oleh beliau (Datuk Dr Jayum Jawan) berada di atas 50 peratus manakala selebihnya pula berada di bawah 50 peratus, iaitu di bawah paras yang memuaskan.
“Ini tidak begitu baik kerana rakyat yang memilih mereka (wakil rakyat) dan ia secara tidak langsung memberitahu Perdana Menteri atau Premier Sarawak bahawa mereka yang dipilih untuk berada dalam kabinet tidaklah begitu baik dan tidak mampu (melaksanakan tugas dengan baik),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Kejohanan Piala Dunia Kriket T20 Wanita, Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) Bawah 19 Tahun di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, jumlah responden yang terlibat dalam kaji selidik tersebut juga adalah terlalu kecil iaitu hanya 183 orang sahaja.
“Jika kajian tersebut melibatkan 2,000 orang, kita boleh terima. Jika hanya 100 lebih orang, sudah tentu nanti anda boleh memilih kawan-kawan sendiri dan jika kawan-kawan anda semua menentang kerajaan, sudah tentu mereka akan mengatakan yang tidak baik.
“Tetapi saya agak curiga mengapa soal selidik itu dikeluarkan, mengapa mereka hanya mengenal pasti melibatkan pemimpin-pemimpin Dayak dan mengapa melakukan kajian dengan kurang daripada 200 orang responden?
“Mungkin mereka ada agenda sendiri, apatah lagi kita sudah hampir dengan pilihan raya. Itu hanya boleh dijawab oleh beliau (Datuk Dr Jayum Jawan),” ujarnya. – TVS