MIRI, 6 Jan: Integriti dan perpaduan terus menjadi tunjang utama Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar.
Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum berkata, kestabilan parti hanya dapat dicapai melalui dialog terbuka dan semangat kebersamaan.
“PRS adalah satu-satunya parti di Sarawak yang sentiasa mengutamakan perpaduan dalam parti. Jika terdapat sebarang isu atau kebimbangan, kami sentiasa bersedia menyuarakannya dalam mesyuarat kepimpinan parti yang dipimpin oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Pendekatan inklusif ini memastikan tiada yang merasa tersisih,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Marudi di sini, hari ini.
Menurutnya, integriti adalah nilai yang lebih penting daripada kebijaksanaan semata-mata.
“Dalam mana-mana organisasi, integriti adalah sangat penting. Saya lebih suka untuk bekerja dengan individu yang jujur dan berdedikasi, walaupun mereka kurang bijak, daripada individu yang sangat bijak tetapi cenderung merendahkan orang lain demi kepentingan diri.
“Jika terdapat individu yang mencetuskan konflik, lebih baik kita kehilangan satu daripada kehilangan ramai lagi ahli yang setia,” ujarnya.
Mengenai pemilihan jawatan tertinggi PRS pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun (TDC), beliau berkata, berdasarkan perlembagaan parti, semua jawatan boleh dipertandingkan.
“Namun keputusan kolektif yang tidak melanggar perlembagaan tetapi demi kepentingan parti boleh dibuat. Kita perlu memastikan TDC tidak bertembung dengan sambutan ulang tahun parti pada bulan Oktober bagi mengoptimumkan sumber,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Presiden PRS Dato Majang Renggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Penguang Manggil.
Setakat ini, Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Marudi mempunyai seramai 1,208 ahli.-TVS