FRANKFURT, 6 Jan: Bundesliga Jerman akan memperkenalkan teknologi semi automatik ofsaid bermula musim depan, kata Ketua Pengadil Knut Kircher dalam edisi Isnin majalah sukan Kicker, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Teknologi ini bertujuan mempercepatkan keputusan ofsaid berbanding keputusan biasa oleh video bantuan pengadil (VAR) dalam situasi berkenaan.
Sistem ini telah digunakan dalam pelbagai liga utama dan turut diaplikasikan pada Piala Dunia 2022 serta Euro 2024. Ia berfungsi melalui kamera di stadium dan cip dalam bola, dengan VAR memaklumkan keputusan kepada pengadil.
Kircher juga memaklumkan bahawa Bundesliga bersedia mencuba sistem yang mana pengadil mengumumkan hasil semakan video kepada penonton di stadium.
Beliau berkata mereka sedang menunggu panduan lanjut daripada badan induk FIFA dan menekankan bahawa semua aspek perlu berfungsi dengan baik, termasuk paparan imej yang betul pada skrin stadium ketika pengadil membuat pengumuman. – TVS