SIMANGGANG: 6 Jan: Bekalan air di kawasan Sri Aman akan pulih secara berperingkat-peringkat selepas kerja pemasangan dan pengalihan paip di Jalan Paip siap awal pagi tadi.
Menurut kemas kini Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman, bekalan air sudah dibuka kembali.
“Kerja-kerja pemasangan dan pengalihan paip di Jalan Paip telah siap dilakukan oleh pihak kontraktor.
“Bekalan air juga sudah dibuka. Namun, bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat-peringkat terutama bagi kawasan yang berada di hujung saluran paip,” menurut kenyataan JBALB hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, JBALB juga masih melakukan proses flushing bagi mengurangkan impak air keruh disalurkan kepada pengguna.
Pada masa sama, JBALB masih meneruskan penghantaran air ke kawasan yang terjejas sehingga bekalan air kembali pulih sepenuhnya.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bekalan air di Pusat Pengumpulan Air Berpusat yang terletak di Pasar Sri Jaya, Terminal Bas Baharu, kawasan letak kereta berhampiran KFC Sri Aman, kawasan letak kereta di Masjid Darul As-Syakirin Kampung Muhibbah, Dewan Serbaguna Kampung Hilir, dan Dewan Seri Lemanak, Jalan Stawang.
Bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211 dan Bilik Gerakan Operasi JBALB Bahagian Sri Aman di talian 083-323240.-TVS