MIRI, 5 Jan: Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk menambah kursus perakaunan dan perundangan dalam senarai pendidikan percuma di wilayah ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah tersebut diambil bagi memenuhi keperluan tenaga kerja seperti akauntan, pengurus kewangan dan peguam di Sarawak.
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempersetujui untuk menawarkan kursus perakaunan dan mungkin juga kursus perundangan kepada anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Wisma Persatuan Melanau Miri, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, kekurangan tenaga profesional dalam bidang berkenaan masih menjadi isu di Sarawak.
“Kerajaan ingin memberi peluang kepada mereka yang cemerlang dan berminat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda,” ujarnya.
Tambahnya, langkah tersebut diambil untuk memastikan Sarawak memiliki tenaga profesional yang mencukupi dalam menyokong pembangunan ekonomi serta pentadbiran negeri.
“Kerajaan Sarawak ingin memastikan anak tempatan mendapat peluang yang sama untuk menuntut ilmu tanpa halangan kewangan. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk melahirkan lebih ramai profesional yang dapat memacu ekonomi negeri,” jelasnya.
Lukanisman berkata, menjelang 2026, Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan pendidikan percuma yang dibuka kepada universiti tempatan di Sarawak seperti Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, Laila College, Centexs, dan ICATS.
“Fasa pertama ini akan menawarkan kursus berasaskan teknikal dan STEM seperti kejuruteraan mekanikal, elektrik dan elektronik serta kejuruteraan perisian yang sangat relevan dengan perkembangan ekonomi berasaskan teknologi di Sarawak,” kata Lukanisman. – TVS