KUCHING, 5 Jan: Kerajaan Sarawak akan terus memantau situasi virus human metapneumovirus (hMPV) yang sedang menular di China ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia termasuklah mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.
Menurutnya, walaupun hMPV wujud sejak sekian lama namun ia lebih membimbangkan daripada COVID-19 kerana tiada rawatan dan vaksin.
“Saya sudah berbincang dengan Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengenai perkara ini.
“Perbincangan melibatkan pendekatan proaktif Sarawak dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan sebarang amaran berkenaan virus hMPV manakala KKM juga sedang memantau jangkitan virus ini di dalam dan luar negara,” katanya.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata demikian kepada pemberita selepas upacara eye-dotting anjuran Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Bahagian Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak menubuhkan pusat penyakit berjangkit adalah sebagai persiapan masa hadapan kerana virus seperti hMPV boleh merebak dari semasa ke semasa, berjangkit dan berpotensi menjadi wabak.-TVS