DHAKA, 5 Jan: Selepas mengalami penurunan berpanjangan, rizab tukaran asing Bangladesh meningkat kepada lebih US$21 bilion pada akhir Disember 2024, lapor Xinhua yang memetik data terkini bank pusat.
The Bangladesh Bank melaporkan rizab tukaran asing negara itu berjumlah US$21.359 bilion pada 31 Disember, menurut kaedah pengiraan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Sebagai perbandingan, rizab itu bernilai US$18.61 bilion pada akhir November.
Bagi ekonomi yang sedang berkembang seperti Bangladesh, rizab tukaran asing yang mencukupi untuk membayar bil import selama enam bulan dianggap memadai. Namun, menurut pegawai bank pusat, rizab sedia ada hanya mampu menampung kira-kira empat bulan bil import.
Rizab tukaran asing kasar Bangladesh pernah mencatat paras tertinggi sepanjang masa iaitu US$48 bilion pada Ogos 2021.
Bagi meningkatkan rizab tukaran asing yang semakin menyusut, bank pusat telah mengambil pelbagai langkah termasuk memberi insentif untuk menarik lebih banyak kiriman wang daripada berjuta-juta rakyat Bangladesh yang tinggal dan bekerja di luar negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kiriman wang, yang merupakan salah satu daripada sumber utama tukaran asing negara, mencatatkan jumlah US$13.78 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember, menurut data rasmi. – TVS