KUALA LUMPUR, 5 Jan: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula esok.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan lawatan itu sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 (ALR) pada Selasa ini.
Lawrence dijadual mengikuti mesyuarat delegasi ALR bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada lawatan itu, kedua-dua pihak dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala selain membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang memiliki kepentingan bersama.
“Anwar dan Lawrence juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan enam Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu Surat Niat,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata MoU dan Surat Niat tersebut merangkumi aspek pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Kedua-dua negara ini merupakan rakan dagangan kedua terbesar masing-masing, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah RM360.12 bilion dalam tempoh Januari hingga November 2024.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua – dua negara. – TVS.