TOKYO, 5 Jan: Pasaran cip global diunjurkan berkembang sebanyak 11.2 peratus kepada rekod US$697.18 bilion pada 2025, didorong oleh permintaan kukuh terhadap semikonduktor untuk digunakan dalam telefon pintar dan pusat data yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), menurut ramalan sebuah organisasi industri.
Agensi Berita Kyodo melaporkan ramalan itu disemak daripada anggaran Jun lalu sebanyak US$687.38 bilion, menurut Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia, sebuah organisasi yang dibentuk oleh pengeluar cip utama.
Peningkatan penggunaan teknologi AI yang semakin meluas di pelbagai negara dan industri telah mencetuskan lonjakan permintaan terhadap cip, ketika syarikat teknologi global berlumba-lumba mendapatkan bekalan mencukupi untuk pusat data yang menyokong pembangunan AI generatif dan peranti yang menggunakan teknologi AI.
Mengikut produk, permintaan untuk semikonduktor logik yang berfungsi sebagai “otak” peranti elektronik dijangka meningkat 16.8 peratus kepada US$243.78 bilion, manakala cip memori, yang menyimpan data, diramalkan meningkat 13.4 peratus kepada US$189.41 bilion, menurut unjuran terkini yang dikeluarkan awal Disember.
Pasaran bagi jenis semikonduktor lain seperti cip analog juga dijangka berkembang, selagi ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang sekurang-kurangnya sederhana, menurut laporan itu.
Mengikut wilayah, Amerika diramal mencatatkan pertumbuhan terbesar dengan peningkatan 15.4 peratus kepada US$215.31 bilion, diikuti rantau Asia-Pasifik dengan pertumbuhan 10.4 peratus kepada US$376.27 bilion.
Eropah dijangka mencatatkan pertumbuhan terkecil sebanyak 3.3 peratus kepada US$53.74 bilion. Pasaran Jepun pula diunjurkan berkembang 9.4 peratus kepada US$51.87 bilion, menurut ramalan itu.
Menurut organisasi itu, pasaran cip global pada 2024 dianggarkan bernilai US$626.87 bilion, meningkat 19.0 peratus, memandangkan pertumbuhan dalam cip berkaitan AI meliputi permintaan yang lembap terhadap cip yang digunakan untuk kereta dan peralatan industri. – TVS