KUCHING, 5 Jan: Proses pengambilalihan MASwings Sdn Bhd (MASwings) yang sedang diusahakan Kerajaan Sarawak bukan sahaja membabitkan operasi syarikat penerbangan itu namun termasuk pengendalian darat di semua lapangan terbang di wilayah ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjanjian pengambilalihan belum dapat dimuktamadkan kerana pihak ketiga iaitu juruaudit kedua-dua pihak masih dalam perbincangan untuk menentukan nilai pengambilalihan syarikat itu termasuk semua aset daratnya.
“Proses pengambilalihan syarikat itu sepatutnya sudah selesai, namun ketika ini rundingan berkaitan penetapan nilai aset syarikat itu masih berlangsung.
“Aset itu termasuk aspek pengendalian darat di lapangan terbang utama seperti di Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan lapangan terbang kecil di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sarawak Service di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu nama bagi syarikat penerbangan itu juga sudah ditetapkan namun ia hanya akan diumumkan secara rasmi apabila proses rundingan antara juruaudit Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) selesai.
Sebelum ini ujar beliau, proses pengambilalihan MASwings dijangka selesai sekurang-kurangnya pada suku pertama 2025. – TVS