SARIKEI, 5 Jan: Hampir 100 peserta yang mewakili kelab dari Kuching, Kota Samarahan, Miri, Bintulu, Bau dan Kalimantan Barat mengesahkan penyertaan pada Cabaran Muaythai P.206 Tanjong Manis yang diadakan buat julung kalinya.
Cabaran tersebut dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis dan mendapat sokongan daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta Persatuan Muaythai Malaysia (PMM).
Ia akan dilangsung selama dua hari dari 24 hingga 25 Januari bertempat di Stadium Bola Keranjang Taman Susur Jambu, Sarikei.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, penganjuran cabaran tersebut di kawasan luar bandar sangat penting untuk membolehkan PMNS mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, ia penting untuk memastikan Sarawak terus cemerlang dalam arena muaythai seperti dilakar pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
“Sebab itulah PMNS pergi ke kawasan luar bandar untuk mencungkil bakat baharu sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026.
“Ini adalah peluang kepada masyarakat di kawasan ini untuk mengenali dan mempromosi sukan muaythai sebagai gaya hidup sihat sekali gus mengelak daripada melakukan gejala negatif,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis pada Ahad.
Yusuf turut menyeru penduduk Tanjong Manis terutama belia untuk hadir memeriahkan cabaran tersebut.-TVS