KUCHING, 5 Jan: Bersempena Tahun Baharu Cina, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) buat julung kalinya melancarkan lagu asli bagi meningkatkan semangat perayaan dan memupuk keunikan budaya.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, karya tersebut akan menambah pesona perayaan menjelang Tahun Baharu Cina khususnya di Padungan dan kawasan lain di sekitar Kuching.
Menurutnya, inisiatif tersebut adalah cerminan dedikasi MBKS kepada usaha mempromosikan budaya sambil mewujudkan suasana meriah dan ceria bagi penduduk serta pelawat.
“Lagu ini menggabungkan tradisi tempatan, budaya kulinari dan gaya muzik pop moden.
“Dengan lirik yang penuh semangat dan melodi yang ceria, lagu ini mengetengahkan tema perpaduan, keharmonian dan harapan yang menyampaikan ucapan selamat bagi Tahun Baharu serta doa agar penduduk menikmati kebahagiaan dan kepuasan hidup,” katanya.
Hong Seng berkata, lagu tersebut dihasilkan dengan kerjasama pemuzik tempatan yang terkenal dengan inti pati kepelbagaian budaya di sekitar Kuching.
Tambahnya, gubahan lagu tersebut menonjolkan keunikan Bandar raya Kuching sebagai pusat pertemuan budaya melalui bahasa muzik yang bersifat sejagat.
“Selain menjadi inovasi seni, lagu Tahun Baharu ini juga merupakan usaha bermakna untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya.
“MBKS berharap lagu ini dapat membangkitkan rasa identiti budaya dalam kalangan komuniti sambil menggalakkan generasi muda untuk meneroka budaya, seni dan masakan tempatan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berharap pelancaran lagu itu dapat memperkasakan perkongsian kepelbagaian budaya dan keharmonian di bandar raya ini sekali gus mengeratkan hubungan antara masyarakat.
Beliau menyeru semua masyarakat menyokong lagu tersebut dan mendedahkan ia akan menjadi sorotan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.-TVS