MIRI, 5 Jan: Rakyat Sarawak perlu terus memupuk semangat muhibah dan perpaduan demi mengekalkan keharmonian negeri serta menolak agenda pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lim Kim Shin berkata, semangat muhibah dan kesatuan rakyat penting bagi memastikan wilayah ini terus maju.
“Di Sarawak, kita amat bertuah kerana rakyatnya hidup dalam keharmonian. Kita meraikan pelbagai perayaan bersama tanpa mengira kaum atau agama. Ini adalah keistimewaan Sarawak yang perlu kita kekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Wisma Persatuan Melanau Miri, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut berkongsi kisah seorang pelancong asing yang memuji Sarawak sebagai tempat yang gembira kerana pelbagai perayaan diraikan sepanjang tahun.
“Sarawak memang bertuah kerana kita boleh duduk bersama, makan bersama dan meraikan bersama tanpa ada rasa perbezaan. Kebebasan agama, budaya dan bahasa ini adalah kekuatan kita,” ujarnya. – TVS