KUCHING, 4 Jan: Anak syarikat SEDC, Sarawak Petchem berhasrat untuk menjadi antara pemain utama dalam industri petrokimia di rantau ini sekali gus menarik minat pemain industri minyak dan gas ke Sarawak.
Malah SEDC Petchem Hub turut menyediakan taman perindustrian untuk pelabur dalam sektor hiliran.
Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, Shell dan syarikat dari Thailand, PTTEP sudah mula masuk ke SEDC Petchem Hub.
“Pelaburan kami di Sarawak Petchem merupakan pelaburan utama untuk SEDC. Seperti sedia maklum, Sarawak Petchem telah memulakan pengeluarannya, tidak lama lagi akan mengeksport metanol melalui entiti yang baharu dibangunkan.
“Kita melihat Sarawak Petchem menerajui banyak aktiviti lain dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang terutama sektor hiliran,” katanya kepada TVS dalam temu bual khas baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem, Dato Mohammad Ibrahim berkata, pembangunan amonia rendah karbon dan urea adalah sebahagian daripada rancangan peniagaan mereka.
“Ia adalah sebahagian usaha menyokong Sarawak Petchem mengenai komitmen ESG untuk mengurangkan jejak karbon dalam industri petrokimia khususnya di Sarawak.
“Bukan sahaja amonia dan urea rendah karbon, kami juga meneroka dan sedang mengkaji metanol hijau yang akan menghasilkan lebih banyak keperluan ESG.
“Ia membantu untuk menempatkan Sarawak Petchem dalam peta dunia untuk produk rendah karbon atau hijau,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat banyak faedah ekonomi untuk Sarawak hasil daripada projek tersebut.-TVS