BAU, 4 Jan: Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan komuniti setempat terutama golongan orang kelainan upaya (OKU) menerusi Program Hari Bersama Masyarakat Gotong-Royong Perdana Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bau.
Pengarah program, Kuan Sek Kiaw berkata, program tersebut menjadi platform mengukuh hubungan antara peserta dengan komuniti termasuk pelatih di PPDK.
“Ini merupakan kali pertama kami bertemu dengan pelatih di sini, kita bersama melakukan gotong-royong dan menanam bunga,” katanya kepada TVS pada Program Hari Bersama Masyarakat Gotong-Royong PPDK Bau di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun hanya melibatkan enam wakil UUM, ia bukan penghalang untuk mereka saling berganding bahu.
“Program ini membuka peluang untuk memahami keperluan komuniti dan membantu mengatasi kekurangan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PPDK Bau, David Disam Nyokeng berkata, penglibatan UUM dalam program seperti itu dapat membantu dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pelatih.
“Impaknya sangat positif kerana apabila individu berpendidikan tinggi memberi sumbangan idea, mereka biasanya dihormati masyarakat.
“Kita berharap komuniti setempat dapat menerima idea baharu melibatkan cara mengurus dan memberikan perkhidmatan kepada OKU,” jelasnya.
Pada masa sama, David berharap program seperti itu diadakan dengan lebih kerap bukan hanya sebagai lawatan singkat tetapi untuk memberikan idea supaya komuniti setempat dapat terus berkembang.
Mengenai pembinaan bangunan baharu PPDK Bau, beliau berkata, ia dijangka mula digunakan pada awal Mac.
“Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep merupakan antara penyumbang kepada pembinaan bangunan baharu PPDK ini,” kata David.-TVS