Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kenderaan daripada perkhidmatan keselamatan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol menyekat pintu masuk di kediaman presiden di Seoul pada 3 Januari 2025. Foto AFP

Pegawai Keselamatan Presiden Korea Selatan tidak endahkan permintaan polis untuk disoal siasat

ByBernama

SEOUL, 4 Jan: Perkhidmatan Keselamatan Presiden Korea Selatan (PSS) tidak mengendahkan permintaan polis untuk hadir ke sesi soal siasat pada Sabtu, sehari selepas menggagalkan percubaan agensi antirasuah negara untuk menahan presiden yang dalam proses pendakwaan, Yoon Suk Yeol, lapor Agensi Berita Yonhap.

Dalam kenyataan kepada media, PSS menyatakan bahawa Ketua Pengarahnya, Park Chong-jun, dan Timbalan Ketua Pengarah, Kim Seong-hoon, tidak dapat meninggalkan tugas mereka “walaupun sesaat,” dengan alasan keperluan mendesak memastikan keselamatan Yoon.

PSS berkata perbincangan sedang dijalankan dengan pihak polis untuk menjadualkan semula sesi soal siasat itu.

Pada Jumaat, Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan (CIO) cuba menguatkuasakan waran tangkap terhadap Yoon berkaitan percubaan melaksanakan undang-undang tentera yang gagal pada Disember.

Bagaimanapun, percubaan CIO dihentikan selepas kebuntuan selama enam jam dengan pegawai PSS dan tentera, apabila kira-kira 200 orang membentuk benteng manusia bagi menghalang kemasukan ke kediaman presiden.

PSS turut mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap “pencerobohan tanpa kebenaran.”

Enam parti pembangkang, yang diketuai Parti Demokratik, menuntut agar Park dihukum atas peranannya dalam kebuntuan pada Jumaat.

Dalam sidang media bersama di Parlimen, ketua-ketua parti itu mendesak supaya Park segera dipecat dan ditahan atas tuduhan menghalang tugas rasmi, menyembunyikan pesalah, dan penyalahgunaan kuasa.

Mereka juga menuduh Park dan PSS sebagai bersubahat dalam pemberontakan. Selain itu, mereka menyatakan bahawa Pemangku Presiden Choi Sang-mok, bertanggungjawab ke atas kebuntuan itu dan perlu memastikan PSS bekerjasama dengan CIO.

Parti-parti pembangkang mendesak CIO agar melaksanakan waran tangkap itu “dengan segera,” sambil menegaskan, “Tidak boleh ada sebarang penangguhan lagi.”

Mengulas perkembangan pada Jumaat, Kementerian Pertahanan pada Sabtu memaklumkan bahawa Pemangku Menteri Pertahanan, Kim Seon-ho telah memberitahu PSS bahawa tindakan menggunakan tentera untuk menghalang CIO daripada menahan Yoon adalah “tidak wajar.”

Askar yang membentuk penghalang itu bertugas di sebuah unit bawahan Kawalan Pertahanan Ibu Kota yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kawasan sekitar Kompleks Presiden.

Menurut kementerian itu, Kim juga telah memberitahu komander unit berkenaan bahawa anggota tentera tidak boleh terlibat dalam sebarang konfrontasi fizikal dengan pihak polis.

PSS menafikan dakwaan bahawa anggota unit berkenaan dikerahkan khas untuk insiden itu. Walaupun unit itu di bawah Kawalan Pertahanan Ibu Kota , PSS bertanggungjawab terhadap arahan dan kawalan di Kompleks Presiden. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan