TRENTON (Kanada), 4 Jan: Google membayar C$100 juta (US$69 juta) untuk menggunakan kandungan berita daripada organisasi media Kanada di platformnya, menurut syarikat teknologi itu pada Jumaat.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa organisasi berita Kanada menghadapi cabaran kewangan yang serius, dengan kehilangan pendapatan pengiklanan kepada Google dan Meta.
Di bawah Akta Berita Dalam Talian (Online News Act), kedua-dua syarikat diwajibkan membayar sejumlah besar dana kepada Canadian Journalism Collective (CJC) sebagai pampasan kepada media berita atas penggunaan kandungan mereka. Dana itu kemudiannya akan diagihkan kepada syarikat media.
Meta bagaimanapun enggan membayar dan menyekat kandungan berita Kanada di platformnya termasuk Facebook dan Instagram, sebagai langkah mengelak daripada membayar kepada CJC.
Berdasarkan perjanjian dengan Google, 30 peratus daripada C$100 juta akan diberikan kepada penyiar, manakala selebihnya diagihkan kepada penerbit berita.
Presiden News Media Canada, Paul Deegan memberitahu AFP bahawa dana ini akan membantu aliran tunai di bilik berita Kanada, sekali gus membolehkan mereka “menghasilkan liputan berkualiti tinggi mengenai institusi demokrasi kita.”
News Media Canada mewakili penyiar dan penerbit berita utama di Kanada.
“Pada masa yang sama, perjanjian ini memberi manfaat kepada Google kerana ia memberikan akses kepada kandungan berasaskan fakta yang disemak oleh wartawan kami,” kata Deegan.
CJC, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan akan bertanggungjawab mengagihkan dana tersebut kepada organisasi berita Kanada.
Penerbit berita akan menerima C$13,798 bagi setiap wartawan yang diambil bekerja, manakala organisasi kecil — digital dan cetak — akan menerima C$17,000 untuk setiap wartawan sepenuh masa, menurut Canadian Broadcasting Corporation.
Langkah ini dianggap sebagai pencapaian penting dalam usaha kerajaan persekutuan untuk memastikan syarikat teknologi besar membayar bagi penggunaan kandungan berita Kanada.
Sebagai sebahagian daripada terma perjanjian, Google diberikan pengecualian selama lima tahun daripada Akta Berita Dalam Talian. – TVS