KUANTAN, 4 Jan: Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 152.4 Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Felda Nerek, Maran, dekat sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.07 pagi dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan Temerloh digegaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta jenis Nissan Almera telah terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam 20 kaki dan terdapat empat perempuan dewasa tersepit di dalam kenderaan terbabit. Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
“Semua mangsa telah berjaya dikeluarkan, bagaimanapun dua wanita maut di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa buat masa ini, masih lagi berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – TVS