MIRI, 4 Jan: Kerajaan Sarawak terus menggalakkan pelajar menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha menyokong agenda ekonomi digital dan hijau wilayah ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bidang tersebut menjadi elemen penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kerajaan kini memberi fokus kepada ekonomi digital dan hijau melalui pelbagai inisiatif seperti Sarawak Pay (S-Global) dan penggunaan hidrogen dalam sistem pengangkutan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi untuk menjadikan Sarawak negeri yang berdaya saing. Oleh itu, saya menggalakkan pelajar untuk memanfaatkan peluang ini dengan menceburi bidang sains, teknologi dan matematik demi masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Pujut di sini, hari ini.
Seramai 319 pelajar SMK Pujut menerima pelbagai anugerah cemerlang pada majlis tersebut.
Kim Shin menjelaskan, Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk menjadikan wilayah ini sebagai hab aeroangkasa dengan pembinaan lapangan terbang baharu serta pelbagai industri berkaitan seperti pembaikan pesawat dan pembuatan komponen.
Mengenai majlis tersebut, Kim Shin berkata, beliau memperkenalkan insentif wang tunai kepada mereka yang berjaya mendapat keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM.
“Insentif ini adalah tanda sokongan saya terhadap usaha pelajar dan diharap dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk berjaya,” ujarnya.
Pada masa sama menurutnya, ibu bapa perlu terus membantu dan mengalakkan anak-anak mencipta kecemerlangan serta sentiasa memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam usaha melahirkan kejayaan buat pelajar dalam segala aspek.
Sementara itu, Kim Shin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM60,000 bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan sekolah itu.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meningkatkan kemudahan di sekolah sekali gus memberikan keselesaan kepada pelajar,” jelasnya.-TVS