KUCHING, 4 Jan: Kumpulan lagenda Boney M memukau lebih 4,000 peminat dalam konsert julungnya di Kuching, malam ini.
Ia merupakan konsert pertama dalam siri Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-50 kumpulan legenda dari Jerman itu.
Peminat mula membanjiri Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) seawal jam 6 petang meskipun konsert sebenar bermula jam 8 malam bagi menyaksikan sendiri persembahan daripada ahli asal Boney M, Maizie Williams.
Ibarat memasuki mesin masa, suasana di BCKK beralih kepada era disko dengan hits seperti Sunny, Daddy Cool dan Ma Baker menggimbau kenangan muda-mudi peminat ke zaman tahun 70-an.
Usia bukan penghalang bagi Williams, 73, menampilkan persembahan dengan vokal mantap dan gerak tari yang masih lincah di atas pentas.
Williams disertai anggota kumpulan lain termasuk Kelly Rahman, Samantha Scott dan Doreen Patel.
Konsert tersebut turut dihadiri barisan tetamu kehormat seperti Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kita amat bersyukur kerana difahamkan tiket konsert malam ini habis terjual dan ini adalah permulaan baik bagi sektor pelancongan bagi tahun ini,” kata Karim ditemui pada konsert itu.
Boney M merupakan kumpulan muzik pop dan disko yang terkenal pada 1970-an dan 1980-an.
Kuching dipilih menjadi lokasi pertama dalam siri konsert jelajah jubli emas yang seterusnya akan diadakan di Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura. -TVS