SIBU, 4 Jan: Semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memperkukuh kesatuan dan kerjasama bagi menjamin pembangunan Sibu yang lebih gemilang.
Ketua Pemuda SUPP Pusat, Kevin Lau Kor Jie berkata, perpaduan dalam kalangan ahli adalah kunci utama untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Kita harus melihat usaha ini sebagai satu tanggungjawab bersama bukan sekadar mengejar kepentingan peribadi.
“Bersama kita dapat mencorakkan masa depan Sibu yang lebih cerah dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Basketball Fun Game anjuran SUPP Cawangan Nangka di sini baru-baru ini.
Pada masa sama, Kevin turut memuji peranan Pengerusi SUPP Cawangan Nangka, Benson Chua Beng Seng dan barisan kepimpinan belia yang komited dalam usaha membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Saya amat menghargai dedikasi dan kerjasama semua pihak walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Usaha bersama ini memberikan harapan baharu kepada rakyat,” ujarnya,
Mengenai Program Basketball Fun Game, beliau berkata, program sukan santai itu bukan sahaja memupuk semangat kesukanan tetapi berfungsi sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan antara ahli parti dengan komuniti.-TVS