KUCHING, 4 Jan: Lebih 140,000 permohonan diterima untuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sejak ia mula dibuka pada 1 Januari lalu melalui aplikasi SPay Global.
Setiausaha Politik Premier Sarawak Kho Teck Wan berkata, pihaknya mengakui menerima maklum balas berhubung kesukaran menyemak dan memproses permohonan berikutan jumlah terlalu tinggi.
“Dalam tempoh tiga hari lalu, kami mencatatkan 140,000 muat turun baharu aplikasi SPay Global dengan 140,000 pemohon baharu.
“Kami akui jumlah ini sangat besar. Oleh itu, pemohon diminta bersabar semasa membuat permohonan SKAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Kelab Renang Power Aquatics (PASC) di Riverine Ballroom, di sini, malam ini.
Kho mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, pada majlis tersebut yang turut dihadiri Presiden PASC Kapitan Tan Kun Gee.
Sehubungan itu, Kho menasihati pemohon agar membuat permohonan di luar waktu puncak seperti waktu malam kerana aplikasi tersebut dapat diakses dengan lebih lancar pada waktu tersebut.
“Anda hanya perlu mencuba pada waktu yang berbeza. Prestasi aplikasi SPay Global biasanya lebih baik dan lancar pada waktu malam.
“Jadi, jadualkan masa anda atau cuba membuat permohonan pada minggu hadapan yang mana kami harapkan sistem akan dapat menangani semua permohonan yang diterima,” ujarnya.
Tambah Kho, baucar SKAS akan diagihkan melalui aplikasi tersebut pada suku pertama tahun ini. – TVS